Beberapa negara telah menggunakan langkah pemeriksaan di sempadan seperti mengambil suhu badan pengembara, untuk cuba menghalang penghidap koronavirus baharu daripada masuk. Adakah pendekatan ini berkesan?

Malangnya langkah ini sahaja tidak boleh menghentikan penularan virus sepenuhnya. Satu kajian yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan bahawa hampir separuh (46%) daripada kes koronavirus baharu akan terlepas daripada pemeriksaan suhu semata-mata. Ini kerana sesetengah pengembara mungkin dijangkiti tetapi belum lagi menunjukkan simptom seperti demam.

Kajian yang meninjau keberkesanan pemeriksaan di pintu masuk dalam beberapa penularan wabak sebelum ini seperti SARS dan selesema pandemik juga menunjukkan bahawa langkah ini mengenal pasti hanya segelintir atau tiada kes. Bagaimanapun, langkah ini mungkin memberi peluang untuk mendidik pengembara tentang penyakit dan apa yang patut dilakukan jika mereka mengalami gejalanya.

Pada peringkat awal wabak, WHO menasihati agar pemeriksaan dijalankan ke atas penumpang yang meninggalkan kawasan yang mempunyai transmisi komuniti virus, seperti di China, di mana virus paling berleluasa. Kerajaan UK buat masa ini menetapkan syarat bahawa penerbangan dan kapal dari negara-negara berisiko tinggi untuk memberi peristiharan bahawa semua penumpangnya sihat sebelum mendarat atau berlabuh.

 

Dari mana berita ini timbul?

Sesetengah negara telah menghadkan kemasukan dari negara-negara yang telah terjejas teruk oleh COVID-19. Negara-negara lain telah mula menggunakan langkah-langkah pemeriksaan di pintu masuk seperti pemeriksaan suhu untuk penumpang yang tiba dari negara-negara berisiko tinggi. Di Wuhan, di mana wabak bermula, pemeriksaan suhu lapangan terbang juga digunakan pada peringkat awal untuk menghentikan penumpang yang dijangkiti daripada meninggalkan kawasan tersebut.

 

Apakah asas dakwaan ini?

Apabila penyakit berjangkit baharu muncul, menghentikan orang dijangkiti daripada mengembara dan menyebarkan virus memang wajar, tetapi lazimnya hanya segelintir orang dijangkiti dan langkah mengenal pasti mereka dengan pantas dan tepat memang mencabar. Bagi penyakit berjangkit yang menyebabkan demam, mengambil suhu orang ramai apabila mereka masuk atau keluar negara adalah satu teknik yang diamalkan. Pendekatan ini telah digunakan selama ini bagi wabak H1N1, Ebola, and SARS (sejenis lagi koronavirus).

Bagaimanapun, satu penilaian sistematik pada 2019 mendapati bahawa saringan di pintu masuk dan keluar bagi memantau penularan penyakit berjangkit telah mengesan tiada langsung atau hanya sebilangan kecil kes penyakit seperti SARS. Beberapa kajian melaporkan bahawa saringan untuk SARS dan selesema wabak agak mahal untuk dilaksanakan dan pertimbangan harus diberikan sama ada wang patut dibelanjakan untuk mengambil tindakan yang lain.

Bagaimanapun, penilaian tersebut mendapati bahawa mungkin terdapat pelbagai manfaat lain daripada saringan. Sebagai contoh, langkah-langkah ini mungkin menghalang pesakit daripada mengembara, meningkatkan kesedaran serta mendidik pengembara dan membenarkan penerbangan pergi dan balik dari negara-negara terjejas untuk terus beroperasi.

Kajian tersebut mencadangkan bahawa saringan yang keluar mungkin patut diberi keutamaan lebih tinggi berbanding saringan yang masuk, dan mendapati langkah ini lebih disyorkan oleh WHO dalam situasi penularan wabak yang lepas.

Apa kata sumber yang boleh dipercayai?

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) menyatakan bahawa “terdapat bukti bahawa pemeriksaan orang ramai di lapangan terbang (dikenali sebagai saringan di pintu masuk) tidak begitu berkesan untuk mencegah penyebaran virus, terutamanya jika orang ramai tiada gejala. Secara amnya dianggap lebih berguna untuk memberi penumpang yang tiba di lapangan terbang maklumat jelas yang menerangkan apa patut dilakukan jika mereka mengalami gejala selepas ketibaan.”

WHO juga menyatakan bahawa pengambilan suhu sahaja semasa saringan di pintu masuk mungkin tidak begitu berkesan. Mereka mencadangkan bahawa jika dilaksanakan, kerajaan harus mengambil langkah-langkah lain seperti mengumpulkan maklumat relevan daripada pengembara dan menyediakan sistem yang bertindak pantas ke atas data yang dikumpulkan.

 

Analisis oleh EIU Healthcare

 

Rujukan

  1. Associate Press. Coronavirus: lapangan terbang di seluruh dunia melakukan pemeriksaan. The Guardian, 21 Januari 2020. https://www.theguardian.com/science/2020/jan/21/coronavirus-screenings-global-travelling-airport (Diakses pada 10 Mac 2020)

Senarai bacaan

  1. Wabak sindrom pernafasan akut yang dikaitkan dengan coronavirus novel, China: penularan tempatan pertama di EU / EEA - kemas kini ketiga. 31 Januari 2020. https://www.ecdc.europa.eu/sites/default/files/documents/novel-coronavirus-risk-assessment-china-31-january-2020_0.pdf (Diakses pada 10 Mac 2020)
  2. Soal Jawab pada COVID-19. 6 Mac 2020. https://www.ecdc.europa.eu/en/novel-coronavirus-china/questions-answers (Diakses pada 10 Mac 2020)
  3. Mouchtouri VA et al. Amalan Pemeriksaan Keluar dan Masuk untuk Penyakit Berjangkit di kalangan Pelancong di Tempat Masuk: Mencari Bukti mengenai Kesan Kesihatan Awam. Int J Environ Res Kesihatan Awam 2019, 16, 4638. https://www.mdpi.com/1660-4601/16/23/4638
  4. Normal D. Mengapa pemeriksaan lapangan terbang tidak akan menghentikan penyebaran coronavirus. Sains, 6 Mac 2020. https://www.sciencemag.org/news/2020/03/why-airport-screening-wont-stop-spread-coronavirus (Diakses pada 10 Mac 2020)
  5. Quilty B et al. Keberkesanan pemeriksaan lapangan terbang untuk mengesan pelancong yang dijangkiti virus coronavirus (2019-nCoV). Surveil Euro. 2020; 25 (5): pii = 2000080. https://www.eurosurveillance.org/content/10.2807/1560-7917.ES.2020.25.5.2000080#html_fulltext
  6. Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Awam UK. Rancangan tindakan Koronavirus: Panduan kepada apa yang boleh anda jangkakan di seluruh UK. 3 Mac 2020. https://www.gov.uk/government/publications/coronavirus-action-plan/coronavirus-action-plan-a-guide-to-what-you-can-expect-across-the-uk (Diakses pada 10 Mac 2020)
  7. Pertimbangan utama untuk penghantaran pulang dan karantina pelancong berkaitan dengan wabaknya coronavirus novel 2019-nCoV. 11 Februari 2020. https://www.who.int/news-room/articles-detail/key-considerations-for-repatriation-and-quarantine-of-travellers-in-relation-to-the-outbreak-of-novel-coronavirus-2019-ncov/ (Diakses pada 10 Mac 2020)